Tuesday, January 24, 2012

NOTA 21 : SEDEKAH MEMBERSIHKAN HARTA.

SEDEKAH MEMBERSIHKAN HARTA.

Dalam sebuah hadis dikisahkan tentang seorang lelaki yang berkata: "Saya akan mengeluarkan sedekah!"Kemudian dia keluar pada malam hari dengan membawa sedekahnya itu. Ternyata sedekahnya itu jatuh ke tangan seorang yang kaya. Keesokan harinya orang-orang pada membicarakan peristiwa itu.

Mereka berkata: "Seorang kaya telah diberi sedekah!" Lelaki itu hanya berdoa: "Ya Allah,segala puji bagi-Mu, sedekahku jatuh ke tangan orang kaya." Ia berkata lagi: "Saya akan mengeluarkan sedekah!"

Kemudian dia keluar pada malam kedua dengan membawa sedekahnya itu. Ternyata sedekahnya itu jatuh ke tangan seorang pencuri. Keesokan harinya orang-orang pada membicarakan peristiwa itu. Mereka berkata: "Seorang pencuri telah diberi sedekah!" Lelaki itu hanya berdoa: "Ya Allah, segala puji bagi-Mu, sedekahku jatuh ke tangan orang kaya dan seorang pencuri."

Ia berkata lagi: "Saya akan mengeluarkan sedekah!" Kemudian dia keluar pada malam hari dengan membawa sedekahnya itu. Ternyata sedekahnya itu jatuh ke tangan seorang pelacur. Keesokan harinya orang-orang pada membicarakan peristiwa itu.Mereka berkata: "Seorang pelacur telah diberi sedekah!"

Lelaki itu hanya berdoa: "Ya Allah, segala puji bagi-Mu,sedekahku jatuh ke tangan orang kaya, seorang pencuri dan pelacur." Kemudian ditanyakan kepadanya perihal tersebut,ia pun berkata:
"Semoga orang kaya itu dapat memetik pelajaran hingga bersedia mengeluarkan kewajiban zakatnya, semoga si pencuri itu dapat menjaga kehormatan dirinya dengan harta itu, dan semoga si pelacur dapat menjaga kehormatan dirinya dengan harta itu hingga dapat meninggalkan perbuatan zina."

(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu)

Bismillah
dengan nama Allah Maha Pemurah lagi Amat Pengasih

Syukur alhamdulillah,malam ini otakku masih cergas,tidak liat atau malas.Ada manusia melayan TV dan Astro,ada pula melepak di kedai kopi malam,namun aku gagahkan diri menulis nota ini..Mnausia pelbagai jenis dan watak.Biarkanlah mereka,itu hak mereka..
Jam hampir 10 malam waktu Malaysia,22 Jun 2011...

Syukur kepada Allah Maha Perkasa,dengan hidayah-Nya aku bergelar penulis.Ketika aku remaja,aku hanya tahu tulis surat-surat picisan menghiburkan hati.Setelah menjengah dewasa,aku belajar menulis sesuatu yang memberi manfaat kepada manusia iaitu buku.Alhamdulillah setakat ini sudah 6 buah buku terbit.Bulan depan buku ke tujuh akan lahir...

Bergelar usahawan memang menyibukkan.Siang dan malam bergelumang dengan kerja bin urusan.Kerja usahawan tidak semudah yang disangkakan.Dunia persaingan yang luas,lahir usahawan baru yg lebih muda dan sudah tentu mereka mempunyai lebih banyak idea bernas berbanding aku yg hampir tua,kelahiran pelbagai produk dan sebagainya menjadi cabaran dan ujian kepada usahawan.

Dalam dunia keusahawanan,tiada pendapatan yang dikatakan tetap seperti makan gaji.Jika makan gaji,gajinya RM5000,cukup bulan merasalah RM5000.Pendapatan tetap setiap bulan adalah hasil buat mereka yang makan gaji.Makan gaji juga ada baiknya,ada bonus tahunan,subsidi dan sebagainya.Jika bekerja kerajaan pelbagai keistimewaan dan kelebihan seperti membeli rumah dengan harga lebih murah,kos rawatan hospital yang amat rendah.

Keusahawanan adalah bidang yang memberikan pendapatan infiniti dan sering berubah-ubah.Aku sendiri pernah merasai sifar dalam bisnes.Dalam sebulan setelah ditolak kos,untung,jumlah stok,pembayaran hutang dan sebagainya adalah sifar.Aku juga pernah merasai RM30,000 keuntungan sebulan.Itulah dunia bisnes.Pendapatan naik dan turun bergantung kepada rezeki dan usaha.

Bagi mereka yang makan gaji,mereka hanya perlu bekerja 8 jam sehari dan pulang dengan girang.Bagi pegawai kerajaan hanya bekerja 5 hari seminggu.Manakala aku pula perlu membuka premis selama 13 jam dari 8 pagi hingga 9 malam.Bila Ramadhan dilanjutkan kepada 10 malam hingga 1 pagi.Kadangkala azan Subuh di pagi raya ,aku masih melayan pelanggan yang membeli saat akhir di tapak ekspo.Itulah ragam dunia bisnes...

Aku sudah melalui pelbagai susah payah dalam bisnes.Naik dan turun.Ketika kegawatan ekonomi negara pada 1997,jualan RM500 sehari jatuh kepada RM5 sehari.Memang amat menyiksakan.Namun aku bersyukur kerna masih boleh bertahan kerna mempunyai simpanan yang cukup.Ramai temanku gulung tikar ketika kegawatan ekonomi.

Kegawatan ekonomi pada 1997 memang menyiksakan ramai usahawan kerna rakyat telah mencatu perbelanjaan.Hanya mereka terlibat dalam bisnes makanan dan minuman boleh bertahan.Usahawan pakaian,perabot,minyak gamat,emas dan sebagainya termenung siang malam termasuklah aku...


Jika George Soros kurang ajar haram jaddah tidak menggunakan cara kotor,Malaysia dan negara Asia lain makmur dan berjaya.Dikatakan negara kerugian 500 bilion akibat kegawatan ekonomi.Ringgit yang bernilai RM2.50 jatuh hampir RM4.00.

Geoge Soros menggunakan manipulasi untuk menjatuhkan nilai matawang Asia.Apa yang menyedihkan negara Indonesia menjadi amat gawat.Kemiskinan semakin bertambah.Pengangguran semakin bercambah.

Indonesia mempunyai hampir 400 juta penduduk dan separuhnya miskin.Kira-kira 1.2 juta warga Indonesia bekerja di Malaysia dengan sah,manakala tidak sah dianggarkan 2 juta.Mereka datang ke Malaysia kerna negara mereka tiada pekerjaan yang bergaji baik seperti Malaysia...

Memang menyedihkan menjadi rakyat Indonesia....

Ramai anak Indonesia menjadi pembantu rumah dan buruh kasar di negara arab,Amerika dan sebagainya.Mereka terpaksa berhijrah kerna negara mereka hanya gah bangunan besar di Jakarta sedangkan tiada pekerjaan.

Aku pernah jumpat mat seberang,mereka mengaku mendapat RM3 sehari menjadi buruh kasar di Indonesia,manakala di Malaysia mereka boleh mendapat RM30 hingga RM80 sehari..

Ramai mat Indon berjaya mengumpulkan puluhan ribu ringgit setelah 4,5 tahun bekerja di Malaysia dan pulang kaya raya.Mereka berjaya membeli tanah ,membina rumah dan menjalankan bisnes.

Malaysia adalah negara membangun yang banyak peluang rezeki.Namun masih ramai rakyat Malaysia sendiri menganggur kerna malas dan memilih pekerjaan.Ada berpendidikan SPM ,mahu menjadi manager Bank.Memang memalukan sikap sedemikian.

Teman baik saya bernama Ah Hong adalah pemborong pakaian di Melaka.Dia belajar kolej dan adalah pelajar pandai namun ayahnya suruh berhenti kerna mahu anaknya menguruskan perniagaan ayahnya.Dia akur dan ayahnya sudah pencen..

Ah Hong adalah usahawan yang tegar.Antara sikap baiknya adalah menepati janji dan toleransi dengan penghutang termasuklah aku...

Aku berdoa agar Ah Hong memeluk Islam .Bapa saudaranya seorang chef hotel memeluk Islam dan cekal menunaikan ajaran Islam seperti solat 5 waktu dan puasa Ramadhan.

Aku masih ingat bulan Ramadhan Ah Hong bergurau "At,jom pi minum,aku belanja!"
Aku jawab "Kalau aku minum,boleh.... tapi malam je...."

Aku bercampur ramai bangsa Cina.Kami kenal atas urusan bisnes dan sebagainya.Ramai bangsa Cina yang aku kenal memang tekun dalam bisnes.Mereka juga sentiasa amanah dan berpegang kepada janji.Jika janji khamis barang sampai,Khamis akan sampai.Cina amat berpegang kepada prinsip .Mereka mengamalkan etika baik kerna mereka percaya dengan dunia bisnes perlu ada kejujuran dan benar.

Bangsa Cina terkenal dengan etika yang baik.Aku pun baca dan hayati apa yang dikatakan Confucious ,malah menonton filem epik Cina mengenai beliau.

Confucious mengajar manusia nilai baik dan ramai bangsa Cina berjaya kerana mereka berpegang dengan nilai diajar Confucious.

Islam sampai ke China sejak zaman Saidina Saad Waqqas r.a .Di China juga ada masjid berusia seribu tahun.

Ramai Melayu memandang rendah bangsa Cina sedangkan bangsa Cina lebih dahulu mendapat hidayah Islam berbanding Melayu.

Tun Dr Mahathir menjawab soalan aku mengenai bangsa Cina "Bangsa Cina kaya dan berharta di Malaysia,Melayu masih lemah dan mundur.Jika Melayu Islam mendakwah mereka supaya masuk Islam,bagaimana mereka mahu masuk Islam?Mereka lebih hebat dan kaya.Mereka akan berkata "Aku tak masuk Islam pun xpa,aku dah kaya".Raja-Raja Melayu dahulu masuk Islam kerana kagum dengan pedagang arab yang hebat,datang ribuan batu dengan kapal dagang yang besar".

Aku amat terpegun dengan Tun.Katanya umpama emas permata dan masa 40 minit mewawancara beliau dirasakan amat pantas.Kalaulah aku dapat 3 jam ,lagi banyak ilmu aku dapat...

Bukan senang nak jumpa Tun.aku hantar surat hampir 3 tahun,baru dapat jawapan untuk diwawancara.Setakat nak jumpa bersalam,rumah terbuka Tun setiap tahun ada.Tapi nak bertemu dan dapat ilmu,bukan mudah...aku doakan Tun sihat dan terus memberi idea agar negara ini terus maju..


Tamat sudah mukaddimah nota kali ini,mukaddimah je dah 4 muka surat...

Hadis di atas mempunyai banyak pengajaran .Antaranya dapat kita ketahui bahawa para sahabat lebih suka bila hubungan antara mereka dengan Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak diketahui orang banyak. Mereka tidak suka orang lain mengetahui apa yang mereka amalkan.Mereka melakukan sedekah secara sembunyi hingga tersalah beri kepada orang yang tidak layak.Namun Allah swt tepa memberikan pahala.

Ramai manusia bersifat bakhil dan kikir kerna mereka menyangka bakhil akan membanyakkan harta,namun hakikatnya memang harta tidak akan berkurang dengan bakhil,namun sifat bakhil adalah sifat mazmumah dan dicela Allah dan rasul-nya.

Ada sebuah kisah lawak mengenai wang RM1 dan RM50...satu hari RM1 bertemu RM50,maka berbuallah mereka..
RM1 berkata "lama x nampak?"
"Biasalah,aku pi KFC,naik Air Asia,pergi pasar malam..."jawab RM50.
"kau bagaimana?"soal pula RM50.
"Biasalah..masjid dan surau......."jawab RM1

Itulah kenyataannya.Pabila tabung masjid atau surau dibuka,not RM1 paling banyak.......

Adi bin Hatim ra., ia berkata: Aku mendengar Nabi saw. bersabda: "Barang siapa di antara kalian mampu berlindung dari neraka walau hanya dengan separoh kurma, maka hendaklah ia melakukannya (bersedekah) "riwayat Imam Muslim.

Islam adalah agama prihatin dan penyayang.Islam menggalakkan sedekah kerana sedekah melahirkan kasih sayang sesama manusia dan membantu orang lain.Sedekah juga melahirkan sikap suka mengambil tahu orang lain.

Baginda saw terkenal sebagai seorang manusia yang tidak pernah menghampakan permintaan orang.Pernah seorang lelaki meminta serban Baginda saw yang dipakai dan itulah sahaja serban yang Nabi saw ada.Baginda saw memberinya.

Pernah orang datang ke rumah Baginda saw dan memberikan wang.Apabila habis wang,diberikan pula makanan yang ada di rumah sehingga tiada lagi makanan di rumah.Begitulah pemurahnya Baginda saw.

Memang diakui ,kita tidak mampu menjadi sehebat Baginda saw,namun adakah kita tidak mampu memberikan 10 % pendapatan setiap bulan untuk sedekah dan jariah?Adakah kita tidak mampu?

Kita lihat betapa ramai manusia mendapat pendapatan 2 ribu sebulan namun memasukkan RM1 dalam tabung masjid hari Jumaat.RM10 dianggap amat berat walaupun dalam sebulan jika dimasukkan RM10,hanya RM40 sebulan.Jumlah amat kecil berabnding rezeki diberikan Allah swt.

Wang disedekahkan ke masjid amat banyak pahala.Wang itu digunakan untuk membayar bil air dan api,membeli sejadah,menguruskan jamuan dan sebagainya.Selagi mentol masjid masih menyala,selagi itulah pahala akan mengalir walaupun kita telah berada di liang lahad...

Termasuk dalam sedekah adalah hadiah.Sejak Kisah Teladan muncul ,aku telah memberikan hadiah buku kepada ramai manusia termasuk fans yang berada di Indonesia dan Brunei.Jumlah pos sahaja ke Indonesia adalah RM40,pos laju.

Sebagai manusia berpegang janji,aku tunaikan janji.Aku tidak mahu dianggap seorang Munafik yang suka mungkir janji.

Baginda saw bersabda "Salinglah kamu memberi hadiah nescaya kamu akan saling berkasih sayang"

Setakat ini buku aku ,Usahawan Kaya Wang Kaya Iman hampir 50 buah telah dihadiahkan kepada ramai manusia termasuk Menteri,pegawai kerajaan,saudara mara dan teman-teman.Bagiku,hadiah adalah penting dalam amalan hidupku.

Manusia yang rajin bersedekah adalah dermawan dan berlawanan dengan dermawan adalah bakhil.Allah swt mencela sifat bakhil sebagaimana firman-Nya:

" Iaitu orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurnianya dan (sebenarnya) Kami telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina;"
surah An-Nisaa ayat 37

" Sebaliknya orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa
cukup dengan kekayaan dan kemewahannya;"
" Serta dia mendustakan perkara yang baik,"
" Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat
kesusahan dan kesengsaraan;"
surah Al-Lail ayat 8-10

Sifat bakhil adalah berbahaya kepada orang Islam kerna bakhil menjadikan manusia mementingkan diri sendiri dan hanya menggunakan harta untuk kepentingan diri sendiri.

Islam mengajar manusia menjadi dermawan kerna dermawan adalah sifat terpuji.Allah swt sayangkan manusia dermawan dan manusia yang mengeluarkan sedekah dengan ikhlas akan bertambah hartanya,diberikan pahala dan akhirat mendapat Syurga.

Ketika awal perkahwinan,isteriku amat tidak memahami sikapku.Bila diminta derma untuk pembinaan masjid atau sekolah,aku menghulurkan RM100.Isteri aku selalu 'komplen' dan mengeluh kerna banyak wang dilaburkan .

Setelah lama kelamaan,isteriku amat memahami.Bukan sahaja tidak komplen lagi,malah menyuruhku menambah jumlahnya.Alhamdulillah syukur kepada Allah swt kerna isteriku memahami erti sedekah dan ganjaran besar di akhirat.

Aku bersyukur kepada Allah Maha pemurah.Walaupun sumbangan dihulurkan amat banyak,namun Allah swt sentiasa melipatgandakan rezeki.Pernah dalam dompetku hanya ada RM50,dan aku berikan semunanya kepada peminta bantuan.

Esoknya aku mendapat rezeki RM3000.Itulah keajaiban sedekah.

Apabila aku membawa keluarga ke mana-mana dan singgah masjid atau surau untuk solat,aku memberikan wang kepada anak-anak dan menyuruh mereka memasukkan wang dalam tabung masjid.Aku didik mereka sejak kecil agar mereka mengetahui cara melakukan kebaikan.Bak kata orang tua "Melentur buluh dari rebong"


Kalau dah jadi buloh baru nak dilentur,alamat susahlah nak dibentuk.Buloh boleh dibuat meriam bunga api atau lemang.

Syaitan sentiasa menghasut manusia agar bakhil.Bila manusia mahu bersedekah,syaitan menghasut dan memberikan pelbagai alasan seperti sewa rumah mahu dibayar,yuran tuisyen,ada filem baru di pawagam dan pelbagai lagi alasan masan diberikan syaitan agar manusia bakhil dan kedekut.

Apabila manusia bakhil dan kedekut,bergembiralah syaitan kerna manusia terpedaya dengan pujukannya.

"Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah di neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya."
(surah An-Nisa': 120-121).

Quran memberikan banyak panduan kepada manusia berkenaan sifat syaitan namun ramai manusia tidak memahami Quran walaupun rajin membacanya siang dan malam.Akibat tidak memahami Quran,ramai tidak mengetahui sifat syaitan dan mempraktikkan segala sifat syaitan dalam kehidupan.


Aku bersyukur kepada Allah swt kerna memberikan ilmu bahasa arab.Ia membantuku memahami ayat-ayat Tuhan.Aku tidak dapat menahan air mata pabila membaca kisah Syurga dan Neraka,kisah para Nabi dan rasul.Aku tidak dapat menahan mataku dari menitis bila membaca kisah kubur dan akhirat.

Quran adalah ajaib.Pabila kita membaca dan memahami nya,kita akan menikmati kemanisan Quran.Kemanisan itu melahirkan keinsafan dan menyebabkan mata kita bergenang...

Baginda saw pernah berpesan "Menangislah pabila kalian membaca Quran.Andainya kalian tidak mampu menangis,buat-buatlah menangis".

Seorang wali Allah sedang menunaikan solat dan membaca ayat Quran "Sesungguhnya hari itu(akhirat ) amat dahsyat",lantas pingsan dan meninggal dunia.Alangkah hebat iman wali Allah itu..


Pada zaman moden,seorang isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri.Kirimlah wang pada suami setiap Jumaat untuk dimasukkan dalam tabung masjid.Isteri juga dapat pahala berganda kerna Jumaat digandakan amalan.

Itulah isteri yang bijak.Jika suami yang hanya rajin mencampakkan dalam tabung RM1,isterinya pula mengirim RM10,sudah tentu suami itu malu dengan isterinya.Lantas suami tadi mahu bersaing.Bila pulang ke rumah suami berkata "Sayang kirim RM10,abang pula masukkan RM50!",itulah keajaiban seorang isteri pintar dalam mendakwah suaminya...

Umat Islam di negara kafir seperti Thailand,Filipina,Kemboja,Laos dan sebagainya tidak mendapat bantuan.Mereka perlu mencari dana untuk membina sekolah dan masjid.Kita yang kaya dan berharta perlu membantu mereka.

Rakyat Malaysia yang dermawan banyak membantu umat Islam.Mereka menghantar dana membina masjid dan sekolah di Thailand dan Kemboja.Umat Islam di Thailand dan Kemboja amat daif...tanpa bantuan dermawan Malaysia,mereka hanya mempunyai sekolah dan masjid kayu usang dan menunggu masa rebah ke bumi...

Warga Brunei juga dermawan.Dikisahkan benar banyak masjid dan sekolah di Indonesia,Thailand dan Kemboja dibina dengan bantuan dermawan Brunei.Ada seorang jutawan Brunie pernah menghantar 50,000 dolar untuk membina masjid di Kemboja.

Kedermawanan kita akan membantu diri kita sendiri.Negara kita mempunyai JKM,pusat zakat,AIM ,YB dan sebagainya yang peka dengan masalah manusia susah dan miskin.Manakala umat Islam di negara bukan Islam tidak mempunyai dana dan mereka tidak pernah dipeduli pemimpin dan kerajaan mereka...

Seorang teman yang rajin menyumbang di Kemboja bercerita kemiskinan di Kemboja "Pabila Ramadhan,anak dan ibu silih ganti ke masjid untuk solat terawih.Jika malam pertama si ibu pergi,malam kedua si anak pula.Ini kerana mereka hanya mempunyai satu telekong sahaja".

Pabila mendengar kisah ini,mata ini merembes.Betapa kita mewahnya hidup dan senang lenang dalam beribadat.Ada yang bertelekong sutera China...subhanallah...kayanya anak Malaysia...




Sedekah tidak pernah memiskinkan manusia.Baginda saw amat rajin bersedekah,begitu para sahabat saw.Pabila Baginda saw memukul canang meminta bantuan untuk perang,berduyun –duyun sahabat saw datang memberikan emas permata,wang,senjata dan sebagainya.

Abu Bakar assiddik r.a adalah manusia yang rajin bersedekah.Suatu hari Baginda saw bertanya apakah yang ditinggalkan kepada keluarga setelah beliau memberi pelbagai sumbangan .Lantas Abu Bakar menjawab "aku tinggalkan Allah dan Rasul".

Begitulah hebatnya Abu Bakar as-Siddik.Abu Bakar r.a adalah antara 10 sahabat dijamin Syurga ketika masih hidup.

Jadilah manusia dermawan dan rajin bersedekah.Sedekah tidak akan mengurangkan harta kerna Allah swt telah berjanji menggandakan 700 kali ganda nilai sedekah.Janji Allah swt adalah benar dan Allah swt tidak pernah mungkir janji.

"Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir: seratus biji.Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki.Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui."
surah al-Baqarah ayat 261.

Segala kelemahan dan kenaifan milikku nama Saat,manakala kebaikan dan kesempurnaan milik Allah Maha Gagah lagi Amat Cerdik.

Terima kasih kerna membaca

NOTA DITULIS PADA :
12.05 pagi
23 Jun 2011

Saat Sulaiman @ 2012

No comments:

Post a Comment